Selasa, 18 Ogos 2009

MAJIKAN LARI TANGGUNGJAWAB DIKOMPOUN RM 500

TAWAU : Golongan majikan di daerah ini dinasihatkan supaya tidak lari dari tanggungjawab untuk mencarum pekerja mereka kerana jika mereka didapati gagal berbuat demikian, tindakan termasuk kompoun RM 500 akan dikenakan.


Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Tawau, Hajah Mariam Haji Hassan berkata, bermula 1 Ogos lepas juga, pihaknya telah mula mengadakan ‘Operasi Kesan Perkeso’ bagi mengesan majikan-majikan degil.

Katanya, mencarum pekerja adalah satu tanggungjawab penting yang perlu dilakukan oleh golongan majikan bagi menjaga kebajikan pekerja mereka.
Kegagalan mereka boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Sekarang ini kita akan pergi ke pejabat-pejabat untuk memeriksa dan mengesan majikan yang degil. Jika ada yang tidak mencarum pekerja, kita akan terus kenakan kompoun RM 500. Kita tidak akan terima sebarang rayuan, pengurangan kompaun atau berkompromi,” tegasnya.
Bagaimanapun, bagi majikan yang belum mencarum, mereka ujarnya boleh mendaftarkan segera pekerja mereka di Pejabat Perkeso Tawau dan mereka tidak akan dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh para pemimpin masyarakat supaya turut tampil memainkan peranan bagi menyedarkan para majikan dan pekerja tentang kepentingan mencarum di Perkeso.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ceramah dan Dialog Bersama Pemimpin Masyarakat dari Tawau, Kunak dan Semporna di salah sebuah hotel di bandar Tawau.
Pada program yang dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang itu, kira-kira 80 pemimpin masyarakat dari ketiga-tiga daerah telah hadir dan mendengar ceramah daripada dua penceramah Perkeso iaitu Juani Bakidi dan Ismail Haji Kastom.

Turut diadakan ialah penyampaian cek kepada empat penerima terdiri daripada pencarum dan waris pencarum yang ditimpa musibah atau telah meninggal dunia.

Penerima pertama ialah Abu Hasan Abdullah, yang menerima cek Bencana Pekerjaan (Hilang Upaya Kekal) bernilai RM 6,441.60, berikutan jari kakinya dipotong setelah mengalami kecederaan ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Penerima kedua pula ialah seorang pencarum, Minggu @ Ghani Tabri yang menerima cek Pencen Ilat bernilai RM 780.54 sebulan dan sebuah kerusi roda.

Penerima ketiga ialah balu kepada Allahyarham Soku Rapide iaitu Dewi Mappeajo, yang menerima pencen bulanan RM 153 sebulan manakala yang terakhir ialah duda kepada Allahyarhamah Yelina Badrin iaitu Mohd Hussin Musa, yang menerima wang pengurusan jenazah isterinya bernilai RM 1500.

Mohd Hussin turut layak menerima pencen isterinya yang merupakan seorang pencarum bernilai RM 1, 917.50 sebulan.




p/s untuk lebih berita dari tawau sila lawati http://tawaukini.com/


Al-Faqir

0 Komen:

Catat Ulasan

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template